Coca-Cola Malaysia prihatin terhadap pergolakkan yang berlaku di antara Israel dan Gaza, juga kesannya terhadap penduduk di rantau Timur Tengah.

Pihak kami telah menerima maklumat bahawa, beberapa individu telah memboikot produk Coca-Cola berikutan maklumat serta khabar angin yang tular di media sosial dan salah fahaman tentang komitmen kami di Timur Tengah. Sama seperti yang lain, Coca-Cola juga mengharapkan keamanan ditegakkan di Timur Tengah dan seluruh dunia.

Coca-Cola Malaysia ingin menekankan bahawa walaupun Coca-Cola adalah jenama global, semua operasi pembotolan kami adalah tempatan. Coca-Cola diproses dan dibotolkan di Malaysia, untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, pihak yang paling terkesan dengan panggilan boikot adalah pekerja tempatan kami dan juga ribuan peruncit, pengedar, pembekal dan lain-lain di seluruh rantaian bekalan kami di Malaysia yang bergantung kepada operasi perniagaan kami untuk sumber pendapatan.

Syarikat Coca-Cola beroperasi di lebih dari 200 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dengan sistem politik, agama dan sejarah yang berbeza. Coca-Cola beroperasi di 14 pasaran di Timur Tengah dan enam lagi di kawasan Afrika Utara. Coca-Cola dan syarikat pembotolan NBC tempatan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pasaran Palestin yang bermula sejak dari 1998. Kini, Coca-Cola merupakan antara pengusaha terbesar di rantau tersebut.

Di Malaysia, Coca-Cola telah beroperasi lebih daripada 85 tahun dan adalah keutamaan kami untuk terus komited dalam membantu rakyat Malaysia dari segi bantuan sosial dan lain-lain.

Matlamat kami adalah untuk memberi kesegaran kepada semua lapisan masyarakat melalui produk minuman yang dikeluarkan. Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana tujuan berkaitan agama, mahupun memihak kepada mana-mana negara lebih daripada yang lain di peringkat antarabangsa.

***

Mengenai Coca-Cola di Malaysia

Cola-Cola – jenama yang tidak asing kepada dunia – mempunyai kepelbagaian portfolio di dalam pasaran Malaysia melalui pengeluaran, pemasaran dan pengedaran lebih daripada 80 produk termasuk: minuman bersoda (Fanta A&W, Schweppes); minuman rendah gula dan tanpa kalori (Coca -Cola Light, Coca-Cola Tanpa Kalori); minuman jus (Minute Maid Pulpy, Minute Maid Refresh, Minute Maid Qoo); teh (Heaven and Earth, Authentic Tea House); dan air minuman (Glaceau Vitaminwater, Dasani).

Cola-Cola telah bertapak seawal pra penubuhan Malaysia sejak tahun 1936 dengan lebih 200,000 pelanggan merentasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Melalui pelbagai program dan kerjasama, Cola-Cola Malaysia komited untuk membawa perubahan dan impak jangka masa panjang kepada komuniti setempat.

Daripada program kitar semula – melalui kerjasama erat dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Global Environment Centre, Reef Check, MareCet, Pengurusan Persatuan Sisa Malaysia (WMAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) – ke projek bekalan air bersih bersama-sama Muslim Aid Malaysia dan Raleign International untuk lebih 23,000 penduduk luar bandar di Sabah, sehinggalah kepada Program Keusahawanan Cola-Cola (Cola-Cola KU) untuk memperkasa ekonomi kaum wanita dan belia ke arah pembangunan komuniti yang lestari di Malaysia.