Program tahunan Fast2Feed yang dianjurkan Yayasan Kemanusian Muslim Aid Malaysia, membawa keceriaan kepada anggota masyarakat yang kurang berkemampuan dengan memberikan mereka sesuatu yang cukup berharga bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya 

Sepanjang bulan Ramadan, pasukan Muslim Aid Malaysia menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia membawa bersama mereka makanan berkhasiat dan minuman menyegarkan serta keceriaan kepada golongan yang memerlukan ini

Majlis Berbuka Puasa bersama Texas Chicken dan AEON Big di Tropicana City Mall 

Majlis Berbuka Puasa di East Coast Mall di Kuantan 

Dengan sokongan berterusan Coca-Cola Malaysia, anak yatim, kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan, penghuni rumah orang-orang tua, masyarakat Orang Asli dan kumpulan orang pelarian, menerima hidangan untuk berbuka puasa, bakul makanan, duit Raya dan pakaian baharu untuk menyambut lebaran. 



Tahun ini, Muslim Aid Malaysia mengunjungi 26 lokasi di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bagi memberikan sumbangan kepada lebih 4,000 anggota masyarakat. 

Sementara menunggu waktu berbuka puasa, kanak-kanak yang diraikan dihiburkan dengan pelbagai permainan masa lalu selain terbabit dalam aktiviti seni dan kraftangan seperti mewarna dan menganyam ketupat manakala kakitangan Coca-Cola dari cawangan di seluruh negara membantu menghidang makanan untuk berbuka puasa selain bersama dalam aktiviti diadakan. 

Fast2Feed adalah antara aktiviti Muslim Aid Malaysia yang dilaksanakan dengan sokongan sumbangan oleh individu dan syarikat korporat. 

“Sokongan berterusan Coca-Cola membolehkan Muslim Aid Malaysia membantu lebih banyak komuniti kurang bernasib baik tahun demi tahun. Kami sangat mengalu-alukan sumbangan masyarakat awam, sama ada individu atau syarikat korporat, untuk sama-sama memberikan harapan dan bantuan serta menunjukkan keperihatinan kepada mereka yang memerlukan terutama pada bulan Ramadan,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid Malaysia, Habsah Marjuni

Melalui hubungan yang dijalin sejak tahun 2010, Coca-Cola terus menyokong aktiviti kebajikan yang dilaksanakan Muslim Aid Malaysia untuk mereka yang kurang bernasib baik dan untuk tahun ini Coca-Cola turut membabitkan rakan niaganya seperti Mydin, Texas Chicken, AEON Big, CapitaLand Malaysia dan PNB Commercial untuk menyumbang barangan keperluan bagi menceriakan lagi golongan ini.

Kanak-kanak kurang bernasib baik diraikan pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Marrybrown Perling Mall, Johor Baru

Kanak-kanak pelarian Rohingya antara yang dibawa membeli belah pakaian baharu di Mydin, Kota Baru

“Bagi rakyat Malaysia, Ramadan adalah waktunya untuk bersama keluarga, berhimpun sesama anggota masyarakat dan juga bulan untuk kebajikan dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik.  Melalui kerjasama dengan rakan kongsi kami sejak sekian lama, kami dapat memberikan sumbangan kecil melalui program tahunan yang cukup bermakna ini yang dilaksanakan Muslim Aid Malaysia dan untuk tahun ini kami gembira kerana dapat menarik rakan niaga tempatan yang memberikan sumbangan serta sokongan untuk sama-sama terbabit,” kata Pengurus Negara, Malaysia, Singapura dan Brunei The Coca-Cola Company, Ahmed Yehia.