Dengan keadaan cuaca di negara ini yang sering bertukar antara hujan dan banjir serta panas dan kemarau, hutan paya gambut memainkan peranan penting dalam pelestarian alam sekitar.

Bagaimanapun kepentingan hutan paya gambut sering diabaikan dan sejak bertahun kawasan ini secara sistematik diterangkan dan dikeringkan manakala pokok yang terdapat di dalamnya dibakar bagi dijadikan kawasan pertanian.

Antara peranan penting dimainkan hutan paya gambut adalah untuk bertindak sebagai zon penampan dalam menghalang banjir selain menjadi sumber air sewaktu musim kering kerana sifatnya yang menampung air. Dengan fenomena pemanasan global yang melanda dan meyaksikan cuaca yang agak melampau, peranan hutan paya gambut menjadi semakin penting. 

Satu-satunya hutan paya gambut yang masih terdapat di Johor adalah Hutan Simpan Ayer Hitam, yang pada masa ini menerima ancaman daripada industri pertanian dengan beberapa bahagian sudah dikeringkan bagi membekalkan air kepada kawasan perladangan dan estet di sekitarnya. Keadaan ini menjadikan ia semakin terdedah kepada kerosakan akibat kebakaran kerana sifat tanahnya yang mudah terbakar apabila kering.

Meliputi kawasan seluas 37,979 hektar, Hutan Simpan Ayer Hitam yang terletak di daerah Muar itu, dipilih sebagai kawasan bagi program Water for Life (Air untuk Kehidupan) oleh Coca-Cola untuk dipulihara dengan kerjasama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta Jabatan Hutan Johor.    

Untuk inisiatif ini, FRIM dan Jabatan Hutan Johor bertindak memberikan nasihat teknikal serta kerja pemulihan dan pemuliharaan sementara Muslim Aid berperanan sebagai penyelaras dan pengurus projek selain mengajak penduduk sekitar untuk terbabit.

Beberapa langkah sudah diambil bagi memastikan hutan paya gambut selamat daripada kebakaran yang mungkin terjadi akibat cuaca kering dan musim kemarau seperti yang berlaku pada tahun 2014 apabila sebahagian besar kawasan ini musnah. 

Antara usaha-usaha dijalankan adalah membina kawasan tadahan air tambahan di kawasan ini bertujuan membantu mengekalkan air yang ada di dalamnya dan mengelak daripada mengalir keluar bagi menghalang berlakunya kebakaran hutan

Usaha pencegahan dan teknik memadam kebakaran di hutan paya gambut juga diajar oleh kakitangan Jabatan Hutan Johor kepada penduduk Mukim Ayer Hitam  



“Hutan ini mudah terdedah kepada kebakaran dan kita perlu sentiasa bersedia. Sukarelawan bomba yang terdiri daripada penduduk setempat adalah pihak pertama yang akan bertindak apabila perkara ini terjadi, justeru mereka harus bersedia,” kata Penghulu Mukim Ayer Hitam, Mohd Afezan Yahya. 

Selain memadam kebakaran, penduduk juga diajar mengenai langkah-langkah pencegahan   yang boleh berpunca daripada mereka sendiri seperti pembakaran terbuka dan kegiatan pembukaan tanah.

Selain menghadiri latihan memadam kebakaran, Mohd Afezan turut mengajak penduduk membabitkan diri dengan kegiatan berkaitan hutan paya gambut seperti ekspedisi berbasikal, menghayati tumbuh-tumbuhan dan menanam pokok. 

Sasaran projek ini adalah untuk meningkatkan simpanan air di kawasan itu melalui  pemuliharaan kawasan rendah di hutan paya gambut berkenaan dengan meninggikannya ke paras ia dapat menampung air supaya dapat menyimpan lebih banyak air, sekali gus meningkatkan kepelbagaian bio di kawasan itu.

Program lestari ini juga dapat mewujudkan peluang kepada penduduk setempat untuk membabitkan diri mereka lebih dalam kegiatan ekopelancongan.   

“Hutan paya gambut adalah bahagian penting dalam ekosistem dan disebabkan oleh beberapa kerosakan yang berlaku di kawasan ini, mengembalikan semula simpanan air adalah perkara penting dalam usaha pemuliharaan yang dijalankan dan Coca-Cola berharap ia akan dicapai,” kata Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib.