Kebanyakan antara masyarakat tindak endah akan bekalan air bersih yang beralir sebaik sahaja membuka pili air manakala di kawasan pedalaman Sabah pula, air bersih memainkan peranan penting sebagai punca asas dan merupakan suatu nikmat bagi penduduk-penduduk kampung. 

Keadaan kampung di pedalaman Sabah (Foto ihsan Raleigh Borneo)

Bagi penduduk-penduduk kampung ini, sungai dan hujan adalah sumber bekalan air mereka, namun pencemaran yang berlaku di hulu menyebabkan sumber air semakin tercemar sementara fenomena pemanasan global yang melanda sejak beberapa tahun lalu menyebabkan berlakunya kemarau yang panjang kian mengganggu jadual musim hujan.

Keadaan ini turut memberi impak kepada mutu kehidupan mereka kerana banyak masa diperlukan bagi mengangkut air dari sungai yang biasanya akan kian cetek dan berkurangan pada musim kemarau dan ini pula menimbulkan masalah kesihatan awam.  

Bagaimanapun, sejak tahun 2006 lebih 5,000 kampung membabitkan kira-kira 20,000 penduduk di Sabah, dengan lebih ramai lagi dijangka, menikmati kemudahan air bersih yang disalurkan terus ke rumah dan kampung untuk kegunaan harian. Terima kasih atas bantuan program “Clean Water For Communities” (Air Bersih untuk Komuniti) kerjasama antara Coca-Cola dengan badan kebajikan pembangunan belia Raleigh International.

Sasaran program “Clean Water For Communities” adalah untuk memperbaiki akses dan meningkatkan mutu bekalan air selain menyediakan perkhidmatan sanitasi bagi membolehkan komuniti terbabit menjalani kehidupan yang lebih baik, selain mendapat faedah keselamatan dan kesihatan.

Melalui program ini, para sukarelawan Raleigh akan membaiki sistem paip lama di kampung di pedalaman ini dan juga memasang Gravity Fed Water System (GFWS). 

Dalam melaksanakan program ini, para sukarelawan antarabangsa terbabit biasanya akan menginap di dewan masyarakat ataupun di rumah-rumah yang disediakan penduduk sepanjang tempoh melakukan kerja berkenaan atau memasang GFWS. 

Untuk beberapa minggu berikutnya, penduduk-penduduk kampong dan para sukarelawan muda ini akan menjalankan kerja membersih dan membina laluan bagi mengangkut bahan binaan, paip dan tangki air ke kawasan yang dicadangkan untuk dibina empangan berhampiran sumber air yang biasanya terletak di atas bukit di kampung berkenaan. Selain itu, mereka juga akan memasang tangki air di beberapa lokasi sekitar kampung bagi kegunaan rumah berhampiran sekali gus memperbaiki sumber bekalan air  bersih penduduk.

Di samping kerja-kerja berkenaan, sukarelawan ini turut mengadakan sesi perkenalan dengan penduduk-penduduk bagi menerangkan akan pentingnya terhadap penjagaan kebersihan dan kaedah perlu dalam mengamalkan kebersihan.

Inisiatif ini juga sebahagian daripada program air sanitasi dan kebersihan Raleigh (water, sanitation and hygiene) (WASH) yang membabitkan pembinaan tandas dan bekas air untuk mencuci tangan (tippy tap) bagi kegunaan di kawasan-kawasan yang tiada paip. 



Melalui pemasangan GFWS, penduduk kampung berkenaan kini mempunyai bekalan air yang selamat dan lestari sekali gus dapat mengelakkan masalah kesihatan juga meningkatkan taraf dan mutu kehidupan mereka.

Memandangkan golongan wanita penduduk kampong ini memainkan peranan dalam soal urusan air, salah satu tanggungjawab utama mereka dalam komuniti adalah untuk memastikan sekiranya bekalan air cukup memadai untuk keluarga dan dengan inisiatif ini, bekalan air bersih akan kian meningkatkan mutu kehidupan mereka.  

“Coca-Cola ingin mengembalikan semula kepada komuniti dan alam sekitar, jumlah air yang menyamai dengan apa yang digunakan dalam menghasilkan minuman kami juga pengeluaran menjelang tahun 2020 melalui projek berkaitan air yang pelbagai, dengan fokus kepada komuniti dan salah satu caranya adalah dengan memperbaiki akses air dan kebersihan yang sekali gus memperbaiki mutu kehidupan penduduk selain membolehkan mereka kurang terkesan dengan fenomena pemanasan global juga memperbaiki mutu air,” kata Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib.

“Air memainkan peranan yang penting dalam kehidupan dan kebanyakan masyarakat sering memandang enteng atas peranan ini. Kami mahukan penduduk-penduduk kampung merasai nikmat bekalan air yang disambungkan terus ke rumah mereka, yang membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap kegiatan lain yang dapat meingkatkan mutu kehidupan mereka,” tambah Kadri.  

Coca-Cola menyediakan dana sebanyak RM1 juta untuk membiayai projek ini dalam menyokong komuniti di pedalaman Sabah dan akan terus dilaksanakan pada tahun 2018.