Tidak semua kita dilahirkan sebagai usahawan dan kemahiran untuk mencapai kejayaan tidak datang secara semula jadi, terutama dalam kalangan wanita di luar bandar yang ada antaranya mempunyai pendidikan di peringkat asas begitu juga dalam kalangan lepasan ijazah.  

Bagaimanapun, kemahiran asas dalam bidang ini boleh diajar dan Coca-Cola Malaysia – dengan rakan kerjasama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) – melatih pemilik perniagaan kecil dan pelajar universiti kemahiran ini melalui program Coca-ColaKU (Komuniti Usahawan)


Dilancarkan pada awal tahun 2017 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, kerjasama sektor awam swasta ini bermatlamat menyediakan latihan keusahawanan kepada 14,000 pelajar di 13 Universiti Awam (UA) di seluruh negara dalam tempoh setahun, dengan sasaran untuk memperkasa ekonomi 20,000 usahawan di negara ini menjelang tahun 2020.

Walaupun sasaran program ini adalah golongan wanita, namun Coca-ColaKU juga menggalakkan penyertaan golongan lelaki dan sedang menuju ke landasan yang tepat untuk mencapai sasarannya dengan setakat ini sudah 5,000 orang menyertai program ini.

Melalui program ini, Coca-Cola Malaysia menyediakan latihan perniagaan yang diperlukan peserta  sementara KPDNKK memberikan khidmat rundingan berhubung undang-undang perniagaan dan pembiayaan mikro.

Selain pengurusan perniagaan, Coca-Cola juga memperluaskan program ini kepada rakan rangkaian perniagaannya dengan syarikat berkenaan dijemput untuk berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan mereka untuk memberikan inspirasi kepada peserta. Syarikat yang terbabit dalam perkhidmatan perkongsian pengangkutan, Uber dan restoran makanan segera tempatan, Marrybrown, berkongsi rahsia bagaimana syarikat itu mampu menjadi sebuah jenama yang berjaya dan memastikan ia sentiasa relevan dalam keadaan di mana keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

The Minister of Domestic Trade Co-operatives and Consumerism, Dato’ Seri Hamzah Zainudin has been supportive of the Coca-ColaKU programme and has also visited Coca-Cola Bottlers Malaysia in Nilai.

Program Coca-ColaKU adalah sebahagian komitmen global Coca-Cola bagi memperkasa ekonomi 5 juta usahawan wanita di seluruh rangkaian pengedaran Coca-Cola menjelang tahun 2020 melalui inisiatif 5by20. 

”Coca-Cola Malaysia bermatlamat membantu membangunkan kemahiran perniagaan dan pemasaran bertujuan membawa usahawan kecil ke jalan kejayaan. Dengan bantuan dari segi perundangan dan sokongan pembiayaan mikro oleh KPDNKK, kami yakin program Coca-ColaKu mampu memberikan kesan positif dan berpanjangan kepada peserta,” kata Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia-Singapura-Brunei, Belinda Ford, pada sesi townhall bersama Menteri dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, pada Oktober. 


Perusahaan mikro, terutama yang dimiliki golongan wanita, sesuatu yang amat penting kepada komuniti di samping mewujudkan kemampanan kepada ekonomi tempatan. Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), golongan wanita menguasai 66 peratus pekerjaan di dunia tetapi hanya memperoleh 10 peratus daripada pendapatan dunia, yang mana 90 peratus dilaburkan untuk keperluan keluarga dan komuniti.

“Coca-ColaKU memperakui adalah penting untuk terus memperkasa golongan wanita ini, begitu juga usahawan lelaki supaya dapat memaksimakan sumber pendapatan mereka, yang mana ia seterusnya akan memberikan kesan yang positif dan kuat terhadap komuniti secara keseluruhan,” tambah Ford.



Satu daripada lima perusahaan kecil dan sederhana dimiliki oleh wanita, bagaimanapun kebanyakan mereka terbabit dalam perusahaan kecil dengan modal yang terhad dan dilaporkan, pada tahun lalu, perusahaan kecil yang dijalankan oleh golongan wanita menyumbang sebanyak 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar 2016, membayangkan betapa besarnya peranan mereka terhadap ekonomi negara.