Untuk tahun 2017, Coca-Cola membuat pelaburan tambahan sebanyak RM500 juta di Malaysia yang mana sebahagian besar digunakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan, yang juga bertindak sebagai hab pengeluaran halal bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei.

Melalui pembesaran membabitkan kawasan seluas 10 ekar sebagai tambahan kepada kawasan kilang yang seluas 31 ekar pada masa ini, pembinaan kilang tambahan itu bermula tahun ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020.

Apabila siap, Coca-Cola Malaysia akan mempunyai sejumlah 1,000 pekerja selain menghasilkan tambahan 10,000 peluang pekerjaan tidak langsung melalui syarikat yang menyokong rangkaian pengedarannya.  

Kilang yang ada pada masa ini memulakan operasinya pada tahun 2011, dan pada masa ini ia adalah antara kilang Coca-Cola yang paling moden dengan pengeluaran paling tinggi di rantau ini yang menghasilkan minuman Coca-Cola, Fanta, Sprite, A&W, Schweppes, Glaceau, Heaven and Earth dan Minute Maid Pulpy, selain air minuman Dasani untuk pasaran tempatan dan juga dieksport ke Singapura dan Brunei.

Memulakan pengeluaran di negara ini pada tahun 1936, daripada sebuah jenama ia berkembang sepanjang 80 tahun keberadaannya dan menjadi pengeluar minuman yang pelbagai di Malaysia.

Coca-Cola adalah satu-satunya syarikat pengeluar minuman utama di Malaysia yang menghasilkan dan menjual minuman ringan sifar kalori dan sifar gula dan melalui  pembesaran kilang yang ada, ia membolehkan pengeluaran ditingkatkan selain menghasilkan produk baharu. 

Majlis pecah tanah kilang tambahan itu dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Dato’ Seri Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, anakanda sulung Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Haji Awaludin Said. 

Mewakili Coca-Cola Malaysia pada majlis itu adalah Ketua Eksekutif Bottling Investment Group Singapura-Malaysia-Brunei, Stephen Lusk dan Pengurus Besar Coca-Cola Singapura, Malaysia, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Antonio Del Rosario.

Pada majlis itu rakan sekutu perniagaan Coca-Cola berpeluang bertemu Yang Amat Mulia Dato’ Seri Tunku Ali Redhauddin sewaktu mengadakan lawatan ke kilang.


Kilang tambahan itu akan ditempatkan sebagai gudang berautomasi canggih serta  mempunyai sistem simpanan berautomasi dan sistem perolehan, juga ruang tambahan sebagai kawasan pengeluaran tambahan untuk masa akan datang bagi  Coca-Cola Malaysia meningkatkan pengeluaran kepada beberapa kategori minuman, selain memaparkan panel solar, ciri-ciri penjimatan air dan pengurangan dalam penggunaan elektrik.