Dalam usaha menjaga alam sekitar dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, Coca-Cola mengharapkan golongan muda untuk terbabit dalam proses mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula (3R).


Untuk itu, program Recycling@U dijalankan dalam menjadikan kitar semula sebagai tabiat dan gaya hidup bagi kalangan pelajar universiti meliputi bahan seperti plastik, aluminium, kaca dan bahan buangan elektrik (e-waste), selain menekankan kepada kesan akibat sikap tidak peduli dalam melupuskan bahan buangan sehingga menyebabkan berlaku larut resap bahan toksik serta buangan bahan yang tidak boleh urai.


Program ini menyaksikan lima Universiti Awam (UA) di Semenanjung Malaysia membina Pusat Kitar Semula di kampus yang dikendalikan persatuan pelajar, yang akan disokong dengan pendidikan mengenai alam sekitar dan kitar semula bagi meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini. 

Diterajui oleh rakan kerjasama Coca-Cola yang juga antara universiti hijau di negara ini, Universiti Putra Malaysia (UPM), Recycling@U disertai Universiti Kebangsaan Malaysia (Selangor), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perak), Universiti Sains Islam Malaysia (Negeri Sembilan) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Johor).

Kelima-lima UA ini komited untuk bergiat aktif dalam menggalakkan persatuan pelajar mengamalkan konsep Sifar Buangan sekali gus melakukan anjakan minda yang menganggap bahan buangan tidak bernilai yang akhirnya memenuhi pusat pelupusan sampah dan tapak insinerator.

Falsafah di sebalik konsep ini adalah masyarakat harus berubah dan tidak menganggap bahan buangan sebagai satu kitaran sebagaimana bahan itu berada di dalam kehidupan kita. Bermula dengan mengurangkan penggunaan, memaksimakan proses kitar semula dan menjadikan ia bahan kompos, ia adalah juga untuk memastikan sesuatu bahan itu direka bentuk dengan menggunakan sumber yang kurang dan boleh diguna semula, dikitar semula atau boleh diurai.

“Pendidikan adalah asas untuk mencapai kejayaan. Kita perlu melahirkan warga global yang faham mengenai konsep perubahan iklim dan sedar akan kesannya kepada cakerawala. Kegiatan kitar semula menyumbangkan kepada pengurangan kesan perubahan iklim. Melalui Pendidikan juga kita dapat memperkasa seseorang itu dan memberikan inspirasi kepadanya untuk menjaga alam sekitar,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Syed Jalaludin Syed Salim, pada pelancaran program itu.

Pelancaran program itu diadakan serentak dengan sambutan Hari Bumi yang diadakan di kampus utama UPM yang dihadiri kira-kira 1,000 pelajar sekolah dan universiti dan turut menyaksikan usaha pelestarian bumi yang dilaksanakan oleh golongan remaja ini.


Turut sama memberikan inspirasi kepada golongan muda dalam menjaga alam sekitar adalah Kloth dan GreenTech Malaysia yang menekankan pentingnya mengamalkan budaya hijau dalam kehidupan seperti memilih bahan untuk menghasilkan pakaian yang dibuat menggunakan fabrik yang lestari.

“Di Coca-Cola, kami melaksanakan strategi meningkatkan kemampanan bahan pembungkusan kami dan mencari jalan bagi mengelakkan ia menjadi bahan buangan. Kami sedar bahawa usaha ini memerlukan banyak tindakan termasuk menggalakkan pengguna ke arah ini, usaha terhadap mengubah polisi, membina hubungan dalam rangkaian pengedaran, membangunkan teknologi diperbaharui dan banyak lagi.

“Sudah tentu ia juga memerlukan pembinaan sebuah sistem dimana orang ramai, institusi dan teknologi dapat bersama dalam mengurang, mereka bentuk semula, memulih, kitar semula dan mengguna semula bahan pembungkus,” kata Pengurus Negara Malaysia-Singapura-Brunei, The Coca-Cola Company, Ahmad Yehia.